ciri-ciri solat yang sempurna
Apa yang dimaksudkan dengan solat yang sempurna?
Iaitu
solat yang dilakukan dengan memenuhi segala rukun-rukun dan
sunat-sunatnya dalam keadaan tenang, khusyuk dan penuh penumpuan.
ciri-ciri solat yang sempurna ialah;
1. Orang yang melakukannya
meyakini bahawa solat yang dilakukannya adalah sebagaimana solat Nabi
–sallallahu ‘alaihi wasallam-.
2. Setiap pergerakan di dalamnya
dilakukan dengan toma’ninah (tenang, tertib, sopan dan tidak
tergesa-gesa).
3. Lidah menyebut dengan elok dan fasih bacaan-bacaan
di dalam solat terutamanya ayat-ayat al-Quran.
4. Bacaan-bacaan di
dalam solat difahami maknanya sama ada bacaan itu berupa ayat-ayat
al-Quran, zikir atau doa kerana memahami makna membawa kepada
penghayatan terhadap apa yang dibaca itu.
5. Hati dalam keadaan
khusyuk dan memberi penumpuan kepada solat iaitu tidak lalai atau alpa.
Apa
hukum mengetahui kaifiyat solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-?
Bagaimana caranya?
Hukumnya adalah wajib kerana Nabi
–sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda (dalam bentuk perintah);
“Kerjakanlah solat sama sebagaimana kamu melihat aku mengerjakan solat”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu
‘anhu-)
Untuk mengetahui kaifiyat solat Nabi, caranya ialah
melalui riwayat-riwayat yang soheh dari para sahabat yang menceritakan
bagaimana Nabi mengerjakan solat bermula dari niat dan takbiratul-ihram
hinggalah kepada memberi salam.
Apa persediaan yang perlu
dilakukan sebelum menunaikan solat?
1. Bersih dari
hadas dan najis.
2. Memakai pakaian menutup aurat
3. Memastikan
telah masuk waktu jika solat yang hendak dikerjakan itu solat fardhu
atau solat sunat yang berwaktu seperti dhuha atau sebagainya.
4.
Memastikan arah qiblat.
5. Persediaan batiniyah; iaitu melapangkan
hati dan akal fikiran dari segala urusan dunia dan memberi tumpuan
kepada solat sahaja.
Apa akibatnya jika solat tidak
dilakukan dengan sempurna?
Menyebabkan solat tidak sah
jika yang tidak disempurnakan itu adalah perkara rukun dan hilang pahala
jika yang tidak disempurnakan itu perkara sunat. Di dalam sebuah hadis,
Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Suatu hari Nabi
–sallallahu ‘alaihi wasallam- berada di dalam masjid. Masuk seorang
lelaki, lalu mengerjakan solat. Kemudian ia datang kepada baginda dan
memberi salam. Setelah menjawab salamnya, baginda berkata kepadanya;
‘Ulangi semula solat kamu. Sesungguhnya kamu belum mengerjakan solat’…”
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan kepada kita
bahawa solat yang dilakukan tanpa memenuhi rukun-rukunnya sama seperti
tidak melakukannya, kerana itu disuruh oleh Nabi supaya mengulanginya
semula.
2. solat jamak qasar
Berikut pula syarat untuk
men"qasar"kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj,
1/359-365) :-
i. Hanya tertakluk kepada keadaan
bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.
ii. Hanya boleh di qasar apabila
telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.
iii. Mengetahui destinasinya dan
ia tidak bertujuan maksiat.
iv. Tidak berimamkan orang yang
menunaikan solat penuh (4 rakaat).
v. Berniat qasar semasa
takbiratul ihram solatnya.
vi. Mestilah solat qasar itu
dilakukan dalam keadaan bersmusafir dari awal hingga akhirnya.
vii. Jika ia berniat (semasa
bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak
termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan
qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak
berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa
hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang.
Dalamtempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.
Solat jama' pula semua syaratnya
sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang
jama' solat :-
i. Jama' tidak
hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar
yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di
luar, sakit (mazhab
Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab
Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150),
semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di
jama' kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)
ii. Solat jama' boleh dilakukan
dalam dua bentuk :-
Pertama : Jamak Taqdim
Ertinya : Di gabungkan dua solat
dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu
zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib.
Ia berdasarkan hadith shohih
dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.
Syaratnya :
1) Solat
dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor
dahulu
dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di
kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk
Mughni al-Muhtaj, 1/371 )
2) Berniat jamak ketika
solat pertama dilakukan,
dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz
niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu
juga di benarkan. Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi
hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa
niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW
sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat
di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.
3) Mestilah
berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan
yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.
Kedua : Jamak Takhir
Ertinya : Menggabungkan dua
solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti
zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).
Ia dibenarkan syarak berdasarkan
hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh
Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)
Syarat-syaratnya :
1) Niat Takhir sebelum
habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat
pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)
2) Berterusan dalam
keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.
Soalan saudari tentang tidak
boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman
sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa
Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-
a- Seseorang yang kerja di KL,
manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak
yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya
juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak
dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat
duduk kurang dari 3 hari.
b- Seseorang yang kampung kelahirannya di
Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia
balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah
sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan menegatakan si suami berhak
menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur
dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.
c- Sekiranya ia dalam perjalanan
balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh
meng"qasar"kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL
Adapun kenyataan
saudari "tidak
berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian" adalah syarat
untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika
terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas.
[1] Al-Majmu’, 1/529, 2/228.
Apa maksud mandi wajib?
Mandi wajib
bermaksud mandi yang diwajibkan oleh Syarak kerana sebab-sebab yang
telah ditetapkan.
Apakah sebab-sebab yang mewajibkan
mandi?
1. Jimak
Jimak bermaksud bersetubuh iaitu memasukkan zakar ke dalam faraj.
Seorang muslim diwajibkan mandi selepas bersetubuh berdasarkan sabda
Rasulullah s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang
perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan
(kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”.
Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani” (Riwayat
Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a..). Menurut Imam Nawawi;
maksudnya “..khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan)..” di
dalam hadis ini ialah; menenggelamkan zakar ke dalam faraj perempuan,
bukan sekadar menyentuh luarannya sahaja. Ijmak ulamak menyatakan bahawa
jika seorang lelaki meletakkan sahaja zakarnya di atas faraj perempuan
tanpa memasukkannya, tidak wajib mandi sama ada ke atas si lelaki atau
si perempuan. (Syarah Soheh Muslim, Kitab al-Haidh, bab Naskh al-Ma’
minal-Ma’…).
Mengikut pandangan jumhur atau majoriti
ulamak; diwajibkan mandi sama ada persetubuhan berlaku antara lelaki dan
wanita atau dengan memasukkan zakar ke dalam dubur (yakni melakukan
liwat), termasuklah mensetubuhi binatang dan orang mati. Bagi jumhur
ulamak, asalkan berlaku persetubuhan iaitu masuknya hasyafah (yakni
kepala zakar) ke dalam faraj atau dubur, wajiblah mandi sekalipun tidak
keluar mani.
Menurut Imam Abu Hanifah; tidak wajib
mandi kalau yang disetubuhi itu adalah binatang sekalipun perbuatan itu
berdosa. Imam Ibnu Hazm pula berpandangan; tidak wajib mandi jika tidak
keluar mani. Baginya, yang mewajibkan mandi bukanlah semata-mata kerana
berlakunya persetubuhan tetapi kerana keluar mani.
2.
Keluar mani
Telah disepakati oleh sekelian
ulamak bahawa wajib mandi dengan keluarnya mani. Ini berdalilkan sabda
Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari
kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri
r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang
dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi
jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni
air mani)’” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak ada beza sama ada keluar mani itu
kerana jimak, mimpi, berkhayal, mengeluarkannya dengan tangan, kerana
melihat wanita atau kerana sebarang sebab, sama ada keluar mani itu
dengan merasa lazat atau tanpa merasainya, sama ada yang keluar itu
banyak atau sedikit, sama ada ketika jaga atau tidur, sama ada lelaki
atau wanita, orang beraqal atau gila. Semuanya mewajibkan mandi. Bagi
pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; tidak wajib mandi
kecuali jika mani yang keluar adalah kerana syahwat dan keluarnya dalam
keadaan memancut.
Kalau seseorang itu bermimpi
(bersetubuh atau sebagainya) tetapi tidak nampak air mani pada badan
atau pakaiannya apabila terjaga dari tidurnya atau ia ragu-ragu sama ada
keluar mani atau tidak, maka dalam kes ini tidak wajib ia mandi. Namun
jika ia melihat ada air mani pada badan atau pakaiannya dan ia tidak
pasti; apakah ia telah bermimpi atau tidak? Dalam kes kedua ini,
wajiblah ia mandi. Ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang
menceritakan; “Ummu Sulaim (isteri Abu Talhah) telah datang kepada Nabi
s.a.w. dan berkata; ‘Ya Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah tidak malu
dengan kebenaran. Adakah wajib seorang wanita mandi jika ia bermimpi?’.
Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air mani’” (Riwayat Imam
al-Bukhari dan Muslim).
Berkata Imam Ibnu Munzir;
telah ijmak bahawa seseorang jika ia melihat dalam mimpinya bahawa ia
bersetubuh, namun setelah terjaga dari tidur ia tidak nampak sebarang
kesan mani, tidak wajib atasnya mandi.
3. Haid dan nifas
Wanita yang kedatangan haid dan nifas, apabila kering darah
haid atau darah nifas, wajib mereka mandi sebelum menunaikan solat atau
sebelum diharuskan suaminya mensetubuhinya berdalilkan firman Allah
dalam surah al-Baqarah, ayat 222 (bermaksud); “Dan mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah
haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat’. Oleh
sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan
bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan
janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.
Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut
jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang
yang sentiasa mensucikan diri”. (Al-Baqarah; 222)
Begitu juga berdasarkan hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan;
“Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah
s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan
apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan
tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari).
Ayat
dan hadis di atas menyentuh tentang haid. Dikiaskan kepadanya nifas
kerana nifas adalah haid yang berkumpul. Begitu juga, nifas mengharamkan
puasa, bersetubuh dan menggugurkan kewajipan solat sebagaimana haid.
Maka wanita yang nifas apabila kering darah nifasnya, wajib ia mandi
sebagaimana wanita yang haid. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang
nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.
4.
Wiladah
Wiladah bermaksud kelahiran anak
termasuklah keguguran (sekalipun hanya segumpal darah atau segumpal
daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad
(mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau
keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang
keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air
mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari
faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah
mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau
keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang
kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya
barulah mandi.
Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah
dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi
kerana tidak ada dalil yang menegaskannya.
5. Mati
Seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan
kecuali orang yang mati syahid.* Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan;
Rasulullah s.a.w. telah bersabda mengenai seorang lelaki yang mati
ketika sedang dalam ihram (haji); ‘Mandikanlah ia dengan air dan daun
bidara, kemudian kafankanlah dia dengan dua helai kainnya’”. (Riwayat
Imam al-Bukhari dan Muslim). Niat mandi hendaklah dilakukan oleh orang
menguruskan mandiannya.
(*Selain orang mati syahid, ada dua lagi
jenazah muslim yang tidak perlu dimandikan;
Mayat yang tidak dapat
dimandikan kerana dibimbangi akan terlerai. Sebagai ganti ia hendaklah
ditayammumkan.
Seorang lelaki mati dan tidak ada orang untuk
memandikannya melainkan seorang wanita ajnabi dan begitu juga
sebaliknya.
(al-Asybah Wa an-Nadzair, Imam as-Suyuti, hlm. 545-546)
6.
Orang kafir yang masuk Islam
Menurut mazhab
Imam Malik dan Imam Ahmad; orang kafir yang memeluk Islam wajib ia
mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang
menceritakan; seorang lelaki bernama Tsumamah bin Usal telah ditangkap
oleh tentera Islam dan ditambat di satu tiang masjid. Nabi berkata
kepada para sahabatnya; “Lepaskan Tsumamah”. Setelah dilepaskan Tsumamah
pergi ke satu kawasan air berdekatan masjid, lalu ia mandi. Kemudian ia
memasuki masjid dan mengucapkan dua kalimah syahadah. (Riwayat Imam
al-Bukhari).
Namun menurut jumhur ulamak termasuk
mazhab Imam Syafi’ie dan Abu Hanifah; tidak wajib mandi atas orang kafir
yang memeluk Islam, akan tetapi disunatkan sahaja. Ramai orang yang
memeluk Islam di zaman Nabi s.a.w., namun baginda tidak menyuruh mereka
agar mandi sama ada sebelum atau selepas memeluk Islam. Adapun hadis
tadi, ia hendaklah difahami sebagai sunat sahaja, bukan wajib.
Menurut mazhab Imam Syafi’ie; dikecualikan jika ia berjunub
semasa kafirnya, maka wajiblah ia mandi. Adapun mazhab Imam Abu Hanifah;
tidak wajib mandi sekalipun berjunub semasa kafirnya kerana Rasulullah
s.a.w. ada bersabda; “Islam menghapuskan/ menggugurkan apa yang telah
lalu” (Riwayat Imam Muslim dari Amru bin al-‘As r.a.)
7.
Orang yang memandikan jenazah
Segolongan
ulamak Salaf antaranya Saidina Ali, Abu Hurairah, Sa’id bin al-Musayyab,
Ibnu Sirin, az-Zuhri dan sebagainya berpendapat; orang yang memandikan
jenazah wajib ke atasnya mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu
Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa
memandikan orang mati, maka hendaklah ia mandi. Sesiapa membawa orang
mati, maka hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam at-Tirmizi.
Menurut beliau, hadis ini hasan).
Namun menurut
pandangan Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, Saidatina ‘Aisyah, al-Hasan,
an-Nakha’ie, Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan sebagainya;
tidak wajib ia mandi. Suruhan Nabi s.a.w. dalam hadis di atas hanyalah
suruhan sunat sahaja, iaitu digalakkan mandi bukan diwajibkan. Terdapat
satu riwayat dari Imam Ahmad menyebutkan; wajib mandi itu hanya jika
yang dimandikan itu adalah mayat orang kafir. Ini berdalilkan arahan
Nabi s.a.w. kepada Saidina ‘Ali r.a. agar ia mandi tatkala ia memandikan
bapanya (Abu Thalib).
Apakah perbuatan-perbuatan yang
menjadi rukun semasa mandi wajib?
Berdasarkan pandangan pelbagai ulamak, perbuatan-perbuatan yang menjadi
rukun di dalam mandi wajib ialah;
1. Menghilangkan najis
pada badan sebelum mandi jika ada.
Rukun
ini disebut dalam mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Ahmad. Dalilnya
ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang meriwayatkan dari Maimunah r.a.
yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk
sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan
baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya,
kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih
dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w.
dari janabah” (Riwayat Imam al-Bukhari)
2. Niat
Wajib berniat di permulaan mandi semasa mula-mula menjirus
air ke mana-mana bahagian badan; sama ada berniat melakukan mandi yang
diwajibkan atau berniat menghilangkan janabah atau hadas besar atau
berniat mengharuskan perkara yang dilarang tanpa mandi seperti solat,
tawaf dan sebagainya. Niat adalah wajib pada pandangan majoriti ulamak
termasuk mazhab Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis
Nabi yang menegaskan; “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada
niat”. Mazhab Imam Abu Hanifah berpendapat; berniat dipermulaan mandi
hanya sunat sahaja, tidak wajib.
3. Meratakan air ke
seluruh badan
Semasa mandi wajib meratakan
air ke seluruh badan merangkumi; kulit yang nampak, rambut dan bulu,
kulit di bawah rambut dan bulu –sama ada bulu itu tebal atau nipis-,
kawasan-kawasan berlipat serta luaran kemaluan wanita (faraj) yang
nampak ketika ia bertinggung. Rukun ini telah disepakati oleh sekelian
ulamak.
Wajib menyampaikan air ke bahagian-bahagian
berlipat di badan –sama ada lelaki atau perempuan-, bahagian dalam
pusat, bahagian dalam cuping telinga (yakni bahagian berlekuk),
celah-celah ketiak, celah papan punggung, celah-celah jari-jari tangan
dan kaki dan kawasan-kawasan badan yang lain yang dihukum sebagai luaran
badan. Begitu juga, bibir mulut (juga wajib dikenai air). Semua perkara
tersebut telah disepakati oleh para ulamak. Bahagian mata, yang wajib
dikenakan air ialah bahagian luar kelopak mata. Tidak wajib membasuh
hingga ke dalam mata. Tidak wajib memasukkan air ke dalam corong
telinga, memadai membasuh luarannya sahaja iaitu pangkal lubang telinga.
Jika ada kekotoran di pangkal lubang telinga, hendaklah dicuci.
(al-Majmu’, 2/228)
Jika di celah-celah kuku terdapat
kekotoran yang menghalang air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi.[1] Begitu juga, kalau di badan atau rambut
terdapat bahan-bahan yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit,
tidak sah mandi melainkan dengan menanggalkannya terlebih dahulu. Jika
rambut kusut hingga air tidak dapat sampai ke akar rambut (yakni kulit
kepala), tidak sah mandi melainkan setelah rambut itu di keca-kecakan
hingga air dapat menembusinya dan sampai ke akarnya. (Al-Majmu’, 1/529,
2/228).
Jika ada seurat dua rambut yang tidak dikenai
air semasa mandi, adakah sah mandi? Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak
sah mandi. Bagi Imam Abu Hanifah; sah mandi (yakni dimaafkan).
(Al-Majmu’, 2/228).
Adakah wanita wajib merungkai
sanggul atau dandanan rambutnya semasa mandi? Dan adakah wajib dibasuh
rambut yang terurai? Persoalan ini akan kita jawab di depan nanti.
4.
Mengambil wudhuk.
Menurut Imam Daud
az-Dzahiri dan Imam Abu Tsur; wajib mengambil wudhuk semasa mandi wajib.
Mengambil wudhuk adalah syarat sah mandi, yakni menurut mereka; tidak
sah mandi tanpa didahului mengambil wudhuk. Mereka berdalilkan
hadis-hadis yang menceritakan tentang cara mandi Nabi s.a.w. di mana di
antara yang dilakukan oleh Nabi semasa mandi ialah mengambil wudhuk.
Namun pandangan mereka menyalahi sekelian ulamak yang lain
yang sepakat menyatakan; mengambil wudhuk sebelum mandi adalah sunat
sahaja, tidak lah wajib. Dalam pengertian yang lain; menurut majoriti
ulamak mengambil wudhuk semasa mandi hanya disunatkan, bukan diwajibkan.
Majoriti ulamak berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang
menceritakan; aku telah bertanya Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku
adalah seorang yang menganyam rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya
untuk mandi janabah?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu
menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu
siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci” (Riwayat
Imam Muslim). Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. tidak menyebut
tentang wudhuk, menunjukkan bahawa ia adalah sunat, tidak wajib. Imam
Ibnu Rusyd menjelaskan; “Apa yang terdapat dalam hadis Ummu Salamah
tersebut adalah rukun-rukun mandi yang diwajibkan”. (Bidayatul-Mujtahid,
jil. 1, hlm. 62).
5. Menggosok
Menggosok seluruh anggota dengan tangan semasa mandi adalah wajib
mengikut pandangan Imam Malik dan disokong oleh Imam al-Muzani (salah
seorang murid Imam Syafi’ie). Namun mengikut pandangan majoriti ulamak;
menggosok adalah sunat sahaja. Yang wajib ialah memastikan air sampai ke
seluruh badan. Jika air dapat sampai tanpa menggosok, kekallah hukumnya
sebagai sunat. Namun jika air tidak dapat sampai melainkan dengan
menggosok (comtohnya; di celah-celah jari yang rapat-rapat), maka ketika
itu barulah hokum menggosok itu berubah menjadi wajib.
6.
Muwalat
Muwalat bermaksud berturut-turut
dari mula mandi hingga selesai tanpa berhenti atau melakukan pekerjaan
lain. Menurut Imam Malik; muwalat ini adalah wajib semasa mandi bagi
orang yang ingat dan mampu melakukannya. Adapun ulamak-ulamak yang lain;
muwalat tidaklah wajib, akan tetapi disunatkan sahaja.
7.
Berkumur dan Istinsyaq
Berkumur dan
Istinsyaq adalah wajib dilakukan semasa mandi wajib mengikut pandangan
Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad. Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w.
kepada Ummu Salamah r.a. tadi; “….kemudian kamu siramkan air ke badan
kamu..”, di mana menurut mereka; mulut dan hidung termasuk dalam
pengertian badan yang mesti dikenai air semasa mandi. (Lihat; al-Mughni,
Ibnu Qudamah)
Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam
Malik; kedua-duanya hanya sunat sunat sahaja. Bagi Imam Syafi’ie;
kedua-duanya adalah sunat muakkad di mana jika ditinggalkan adalah
makruh. Imam Daud pula berpandangan; yang wajib hanya Istinsyaq sahaja.
Adapun berkumur, tidak diwajibkan. Pandangan Imam Daud disokong oleh
Imam Ibnu al-Munzir.
8. Membaca Bismillah
Menurut Imam Ahmad; membaca Bismillah ketika bersuci dari
hadas (sama ada mengambil wudhuk atau mandi wajib) adalah wajib. Masa
membaca Bismillah ialah selepas niat dan sebelum mula melakukan
perbuatan-perbuatan untuk bersuci. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah, jil.
1, hlm. 96). Namun tuntutan membaca Bismillah semasa mandi ini tidaklah
sekuat tuntutan semasa mengambil wudhuk. Menurut pandangan majoriti
ulamak; membaca Bismillah ini hanya sunat sahaja, tidak wajib sama ada
semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib.
Apakah
perbuatan-perbuatan lain yang dilakukan oleh Nabi ketika mandi wajib?
Selain dari perbuatan-perbuatan rukun atau wajib di atas,
perbuatan-perbuatan lain yang disyariatkan (atas nama sunat) semasa
mandi ialah;
1. Membasuh tangan terlebih dahulu.
2. Menggunakan
tangan kiri ketika membasuh kemaluan dan ketika menghilangkan najis di
badan jika ada.
3. Melakukan segala yang disunatkan semasa mengambil
wudhuk.
4. Mula mandi dari atas ke bawah; yakni dari kepala turun ke
kaki.
5. Memulakan mandi dari sebelah kanan; iaitu menjirus badan
sebelah kanan, kemudian baru kiri. Tidak wajib tertib dalam memandikan
angota badan. Namun disunatkan bermula dari kepala, kemudian bahagian
atas badan dengan mendahulukan sebelah kanan.
Apakah
hadis-hadis yang menjadi rujukan bagi sifat mandi yang sempurna?
Menurut Imam Ibnu Rusyd; para ulamak sepakat menyebutkan
bahawa sifat mandi yang paling sempurna ialah yang terdapat di dalam
hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. dan Maimunah r.a..
1. Hadis
‘Aisyah r.a.
Saidatina ‘Aisyah r.a.
menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah,
baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan
air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan
tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda
mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian
baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya
hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan
akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya
sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh
badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Muslim)
2.
Hadis Maimunah r.a.
Maimunah r.a.
menceritakan; “Aku telah menyediakan untuk Nabi s.a.w. air untuk baginda
mandi wajib. Baginda (mandi dengan mula) membasuh dua tangannya
sebanyak dua atau tiga kali, kemudian baginda menuangkan air ke tangan
kirinya lalu membasuh kemaluannya (yakni beristinjak), kemudian baginda
menyapu tangannya ke tanah (untuk membersihkan tangan dari kesan najis
selepas membasuh kemaluan atau istinjak tadi-pent.), kemudian baginda
berkumur, beristinsyaq (membasuh hidung), membasuh muka dan dua
tangannya (hingga ke siku), seterusnya baginda menyiramkan air ke
seluruh jasadnya, berikutnya baginda s.a.w. mengalih/berganjak dari
kedudukannya lalu mengakhiri mandi dengan membasuh kedua kakinya”.
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Ibnu ‘Abbas r.a.
meriwayatkan dari Maimunah r.a. yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib)
Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat
kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran
yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya,
berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah
mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah”. (Riwayat Imam al-Bukhari)
Kita perhatikan di dalam hadis Maimunah di atas; Rasulullah
mengambil wudhuk tanpa membasuh kakinya iaitu baginda menangguh basuhan
kaki ke hujung mandi.
Bagaimana caranya melakukan mandi
wajib yang sempurna?
Untuk melakukan mandi
wajib dengan sempurna, ikutilah langkah-langkah berikut;
Langkah
pertama
Baca Bismillah sambil menghadirkan
niat di dalam hati (iaitu niat melakukan mandi wajib atau niat
menghilangkan hadas). Kemudian basuh kedua tangan sebanyak tiga kali.
Langkah
ke dua
Dengan menggunakan tangan kiri,
basuh kemaluan (depan dan belakang) dan bersihkan najis atau kekotoran
di badan jika ada.
Langkah ke tiga
Ambil wudhuk dengan sempurna sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan
solat. Jika ingin menangguhkan basuhan kaki ke hujung mandi diharuskan.
Namun yang afdhal ialah menyempurnakannya.
Langkah ke
empat
Kemudian lakukan mandian dengan
bermula di bahagian kepala terlebih dahulu. Mula-mula, ambilkan air dan
selati celah-celah rambut dengan jari-jari hingga rata air di kulit
kepala dan akar-akar rambut. Setelah itu jiruskan air ke atas kepala dan
ulanginya sebanyak tiga kali cebukan.
Langkah ke lima
Berikutnya, lakukan pula mandian di bahagian badan dengan
menjirus air ke sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian diikuti ke
sebelah kiri. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan
terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai
air jika tidak digosok.
Langkah ke enam
Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok
dicelah-celah jarinya. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; Apabila selesai
mandian, disunatkan membaca doa sebagaimana doa yang sunat dibaca
selepas mengambil wudhuk .
Wanita yang mendandan rambut
atau mempunyai sanggul; wajibkah ia merungkaikan sanggul atau
dandanannya itu ketika mandi?
Menurut mazhab
Imam Syafi’ie; jika air dapat membasahi rambut dan dapat sampai ke
kulit kepala tanpa merungkainya, maka tidak wajib merungkainya. Jika
tidak, wajiblah ia merungkai dandanan atau sangggulnya. Jadi, yang
penting ialah memastikan air mengenai rambut dan kulit kepala.
Imam Ahmad membezakan antara mandi kerana junub dan mandi
kerana haid. Menurut beliau; jika mandi kerana junub, tidak wajib
merungkai sanggul atau dandanan itu. Tetapi jika mandi kerana haid,
wajiblah dirungkaikannya Ia berdalilkah dua hadis;
Pertama; hadis
dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya Nabi
s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang mendandan rambut.
Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi junub?”. Jawab Nabi s.a.w.;
“Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga
cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan
itu kamu menjadi suci”(Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi). Hadis
ini menjadi dalil bahawa; jika seorang perempuan mandi kerana junub,
tidak wajib ia merungkai dandanan rambutnya.
Kedua; hadis dari
‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- yang menceritakan; Asma’ binti Syakal telah
bertanya Nabi tentang mandi selepas haid. Lalu Nabi menerangkan;
“Sesiapa dari kamu (yang kering darah haidnya-pent.) hendaklah ia
mengambil air dan daun sidrnya, kemudian hendaklah ia mengambil wudhuk
dengan menyempurnakan wudhuknya. Kemudian hendaklah ia menuangkan air ke
atas kepalanya, lalu menggosok-gosokkan kepalanya dengan
bersungguh-sungguh hingga air sampai ke segenap ruang kepalanya. Setelah
itu hendaklah ia menyiramkan air ke badannya. Berikutnya, hendaklah ia
mengambil secebis (kapas atau sebagainya) yang diletakkan wangian
kasturi, kemudian bersihkanlah dengannya”. Asma’ bertanya; “Bagaimana
aku hendak membersih dengannya?”. Nabi menjawab; “Subhanallah! Bersihkan
lah dengannya”. Aisyah pun berkata kepadanya –dengan berbisik-; “Kamu
cucikan dengannya kesan darah (yang masih ada di faraj kamu)”. Kemudian
ia (yakni Asma’) bertanya pula tentang mandi kerana junub. Nabi
menjawab; “Hendaklah ia (yakni wanita yang berjunub) mengambil air, lalu
mengambil wudhuk dengan memperelokkan wudhuknya. Kemudian ia tuangkan
air ke atas kepalanya sambil menggosok-gosok kepala hingga air sampai ke
segenap ruang kepalanya. Setelah itu ia siramkan air ke seluruh
badannya”. Berkata Aisyah; “Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar.
Perasaan malu tidak menegah mereka dari mendalami agama” (Riwayat Imam
Muslim). Hadis kedua ini menunjukkan perbezaan bagi mandi wanita antara
mandi kerana junub dan mandi kerana haid. Semasa mandi kerana haid,
diperintah oleh Nabi agar gosokan kepala dilakukan dengan
sungguh-sungguh, sedangkan semasa mandi kerana junub baginda hanya
menyuruh gosokan biasa sahaja. Jika dipadankan hadis ini dengan hadis
pertama tadi, maka dapat disimpulkan bahawa; semasa mandi kerana haid
wajiblah dandanan atau sanggul dirungkai agar gosokan dapat dilakukan
dengan sungguh-sungguh sebagaimana yang disuruh oleh Nabi. Adapun semasa
mandi kerana janabah, tidak wajib sanggul atau dandanan rambut
dirungkai kerana sekalipun ia tidak rungkai, gosokan yang biasa masih
dapat sempurnakan.
Apa hukum mandi telanjang?
Di khalayak ramai hukumnya adalah haram. Adapun di tempat
yang tersembunyi atau tertutup, hukumnya harus. Berkata Qadhi ‘Iyadh;
keharusan mandi bertelanjang di tempat yang tertutup atau tersembunyi
dari orang lain merupakan pandangan jumhur atau majoriti ulamak”.
Keharusan ini berdalilkan hadis Abu Hurairah r.a. yang meriwayatkan dari
Rasulullah s.a.w. yang bercerita; “Adalah Bani Israel mandi dengan
bertelanjang (sesama mereka di mana) sebahagian mereka melihat kepada
sebahagian yang lain. Akan tetapi Nabi Musa a.s. mandi bersendirian
(kerana menjaga auratnya). Maka mereka (yakni Bani Isreal) mendakwa;
‘Demi Allah! Tidak menghalang Musa mandi bersama kita melainkan kerana
buah zakarnya bengkak’. Satu hari Musa pergi untuk mandi. Ia meletakkan
pakaiannya di satu batu. Tiba-tiba batu itu lari bersama pakaiannya.
Musa pun keluar dari tempat mandi itu (dalam keadaan bertelanjang)
mengekori batu itu sambil memanggil; ‘Pakaianku, wahai batu’, hingga ia
dilihat oleh Bani Isreal. Maka mereka berkata; ‘Demi Allah! Tidak ada
sebarang kecacatan pada Musa (sebagaimana yang didakwa)’. Musa dapat
mengambil kembali pakaiannya dan dia lalu memukul batu itu” (Riwayat
Imam al-Bukhari). Berhujjah dengan hadis ini adalah satu cabang dari
berhujjah dengan syariat sebelum Islam.
Sekalipun
harus, namun yang terbaik ialah menutup aurat (yakni; sekalipun harus
mandi bertelanjang di tempat tersembunyi, namun yang paling baik ialah
mandi dengan menutup aurat). Dalilnya ialah hadis dari Mu’awiyah bin
Haidah r.a. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya
Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami
buka?”. Jawab baginda; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu
atau kepada hamba yang kamu miliki”. Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika
sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”. Nabi menjawab;
“Allah lebih layak untuk kamu malu dari manusia” (Riwayat Imam Abu Daud,
at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini
hasan).
Imam Abu Laila menganggahi pandangan jumhur
di mana menurut beliau; ditegah mandi telanjang sekalipun ditempat
tertutup atau tersembunyi kerana air juga mempunyai penghuninya.
Mengambil
wudhuk semasa mandi wajib; mana yang afdhal antara menyegerakan basuhan
kaki atau menangguhnya ke hujung mandi?
Harus sama ada hendak menyegerakan basuhan kaki atau menangguhnya iaitu
dengan membasuhnya di hujung mandi. Dalil menyegerakannya ialah hadis
‘Aisyah r.a.. Adapun dalil menangguhnya ialah hadis Maimunah r.a..
Kedua-dua hadis tersebut telah kita bentang tadi (sila rujuk kembali).
Mana yang afdhal; menyegerakannya atau menangguhnya? Majoriti ulamak
berpendapat; yang afdhal ialah menangguhnya. Mengikut pandangan yang
rajih dalam mazhab Syafi’ie; yang afdhal ialah menyegerakannya (yakni
menyempurnakan wudhuk hingga basuhan kaki). Ini kerana kebanyakan
riwayat dari ‘Aisyah dan Maimunah menyebutkan bahawa Nabi s.a.w.
menyempurnakan wudhuknya hingga basuhan kaki, tanpa menangguhnya ke
hujung mandi. Menurut Imam Malik pula; jika tempat mandi itu tidak
bersih, elok ditangguhkan basuhan kaki. Namun jika tempat mandi itu
bersih, maka yang afdhal ialah menyegerakan basuhan kaki. (Nailul-Autar,
jil. 1, kitab at-Toharah, Abwab al-Aghsal al-Mustahabbah, bab Sifati
al-Ghusl).
Adakah perlu mengambil wudhuk sekali lagi
selepas mandi?
Mengambil wudhuk semasa mandi
wajib hanya disunatkan sekali sahaja iaitu di awal mandi. Telah ijmak
ulamak bahawa tidak disyari’atkan dua kali wudhuk dalam satu mandi. Ini
berdalilkan hadis dari Aisyah r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w.
tidak mengambil wudhuk selepas mandi junub”. (Riwayat Imam at-Tirmizi,
an-Nasai dan Ibnu Majah dari ‘Aisyah r.a.. Berkata at-Tirmizi; hadis ini
hasan soheh). Kecualilah jika seseorang telah melakukan perkara yang
membatalkan wudhuk selepas selesai mandinya. Maka ketika itu, wajiblah
ia memgambil wudhuk.